Tuesday, November 28, 2017

AL-FATAWA AL-FATHANIYYAH (الفتاوى الفطانية)


Kitab al-Fatawa al-Fathaniyyah ( الفتاوى الفطانية ) merupakan himpunan jawapan kepada 108 soalan dalam pelbagai bidang yang dikemukakan kepada al-‘Allamah Syeikh Wan Ahmad bin Wan Muhammad Zain al-Fathani (). Beliau adalah seorang tokoh ulama Nusantara yang berasal dari Patani dan menjadi guru di Masjidil Haram - yang terkenal dengan keilmuannya.

Beliau rahimahulLah telah berkata pada permulaan kitab ini: “Maka  inilah  beberapa  soal  yang  dituntuti daripada al-‘abd al-faqir ila ‘afw robbihi al-raji minhu Ta’ala nayl al-amani Ahmad bin Muhammad Zain bin Musthafa al-Fathani ‘afa Allah Ta’ala ‘anhu akan jawabnya.”

Ia merupakan sebuah kitab yang unik serta mempunyai gaya penulisan yang tersendiri serta agak berbeza dengan kitab-kitab yang lain kerana ia merupakan pengalaman sebenar yang disusun dalam bentuk soal jawab yang tidak kedapatan dalam metode yang sedemikian pada zamannya. Walaupun majoriti kandungan fatwa dalam kitab ini adalah dalam ruang lingkup fikah yang sebahagian besarnya pula berkaitan bidang munakahat tetapi ia turut meliputi dua bidang utama dalam syariat Islam iaitu tauhid dan tasawuf.

Begitu juga, Syeikh Ahmad al-Fathani rahimahulLah turut menyentuh mengenai teknologi  moden yang hampir-hampir tidak disentuh oleh ulama lain pada waktu itu. Renungi  sahaja  kata-kata beliau di bawah ini:

“ Berkata hamba, pada me[ng]hampirkan bagi segala akal, adakah tiada  engkau  ketahui   atau lihat bahawasanya dikurniakan kepada kuffar sekarang ini beberapa ringkahan yang ‘ajib-‘ajib sehingga sampai mereka itu kepada alat yang boleh musafir di dalamnya di atas hawa’ yang telah maklum mereka itu dengan ‘balon’ atau ‘thaiyarah’ atau minthad.....”.

Penelitian  terhadap  fatwa-fatwa  ini  juga  membayangkan kekuatan pengaruh mazhab Syafie yang dipegang oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Ini dapat dilihat daripada kata beliau yang  berbunyi “...dan tiada hamba  di dalam  kutubul  mazhab  akan  sesuatu  syarat  yang lebih  daripada segala syarat yang enam ini.”  Ia turut  dibuktikan dengan  melihat  kepada  kitab-kitab yang menjadi rujukan beliau ketika menjawab soalan-soalan yang dikemukakan  seperti   kata beliau “ Inilah pendapat yang disemuafakati dengan jazam dalam beberapa kitab muktabar pada Mazhab Syafi’i. . .”

Antara kitab muktabar tersebut yang menjadi panduan kepada Syeikh Ahmad al-Fathani rahimahulLah dalam mengeluarkan fatwa yang kesemuanya dikarang oleh tokoh-tokoh yang bermazhab Syafi’i ialah Bugyah al-Mustarsyidin Fi Talkhish Fatawa Ba’dh al-A’immah Min al-‘Ulama’ al-Muta’akkhirin Ma’a Dhamm Fawa’id Jammah Min Kutub Syatta li al-‘Ulama’ al-Mujtahidin karangan ‘Abd al-Rahman bin Muhammad al-Husain bin ‘Umar yang lebih dikenali Ba’alawi (1250-1320H), Tuhfah al-Muhtaj bi Syarh al-Minhaj hasil penulisan Syihab al-Din Abi al-‘Abbas Ahmad bin Muhammad bin ‘Ali bin Hajar al-Haytami (974H), Fath al-Mu’in bi Syarh Qurrah al-‘Ayn oleh al-‘Allamah Syaikh Zayn al-Din bin ‘Abd al-‘Aziz al-Malibari () dan lain-lain rahimahumulLah. Perlu disebutkan di sini bahawa antara rujukan utama beliau juga ialah kitab al-Umm karangan Imam al-Syafi’i (150-204H) radiaLlahu’anhu sendiri dan al-Majmu’ oleh  Imam  al-Nawawi () rahimahulLah. .

Selain daripada fatwa dalam hukum syariat, kitab al-Fatawa al-Fathaniyyah juga menonjolkan ketokohan Syeikh Ahmad al-Fathani dalam ilmu bahasa seperti yang dapat dikesan pada masalah nombor 4, 6 dan 15. Dalam pada itu juga, beliau rahimahulLah adalah manifestasi ulama yang sangat mengenali kekerdilan, kelemahan serta kebergantungan seorang hamba di hadapan Tuhan Rabb al-Jalil dengan merendahkan diri beliau serta mengakui  bahawa ilmu yang  dimiliki beliau pada hakikatnya adalah sangat terbatas dan milik mutlak Allah (s.w.t) yang Maha Berkuasa.

Catatan di atas dipetik dengan sedikit pengunahsuaian dari artikel yang bertajuk Pemikiran Usul Fikah Syeikh Ahmad al-Fatani dalam al-Fatawa al-Fataniah. Baca artikel ini di siniSemoga bermanfaat.

AL-TSIMAR AL-YANI'AH (الثمار اليانعة)


Kitab al-Tsimar al-Yani’ah fi Syarh Riyadh al-Badi’ah (الثمار اليانعة في شرح الرباض البديعة) merupakan sebuah karya al-‘Allamah Syaikh Muhammad Nawawi bin Arabi al-Bantani al-Jawi (1230-1314M / 1813-1879M).

Kitab ini disusun oleh Syaikh Muhammad Nawawi sebagai huraian (syarah) bagi sebuah karya guru beliau Syaikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Syafi’i al-Makki (1233-1335H /1817-1917M), yang berjudul al-Riyadh al- Badi’ah fi Ushul al- Din wa Ba’dh Furu’ al-Syari’ah ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i  (الرياض البديعة في أصول الدين وبعض فروع الشريعة على مذهب الإمام الشافعي). Kitab al-Riyadh al-Badi’ah ini adalah sebuah kitab yang ringkas (mukhtasar) mengenai akidah dan fiqh berdasarkan mazhab Syafi’i.

Dalam kitab al-Tsimar al-Yani’ah ini, Syaikh Muhammad Nawawi al-Jawi menghuraikan teks akidah yang terdapat dalam kitab asalnya dengan merujuk kepada pandangan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama’ah, aliran al-Asya-‘irah. Manakala huraian dalam bidang fiqh, ternyata lebih meluas dengan merujuk kepada pandangan para ulama mazhab Syafi’i.

Kandungan kitab al-Tsimar al-Yani’ah ini dimulai dengan penerangan mengenai bidang akidah dan dikuti dengan perbahasan mengenai bidang fiqh yang dibahagi kepada beberapa buah kitab, iaitu  thaharah (bersuci), solat, jenazah, zakat, puasa, haji dan umrah, sumpah dan nazar. Bagi menyempurnakan lagi kandungan kitab ini, Syaikh Muhammad Nawawi telah menambah satu fasal yang berkaitan mengenai menziarahi kubur Nabi Muhammad saw. Kandungan kitab ini diakhiri dengan penerangan mengenai bidang tasawuf.

Cetakan pertama kitab ini telah dicetak oleh Percetakan al-Bahiyah, Mesir, pada bulan Syaaban 1299H/1882M dan diulang cetak di Bulaq pada tahun 1302H/ 1884M, di al-Maimanah pada tahun 1308H/1889 M,  di Percetakan Dar Ihya al-Kutub al-‘Arabiyyah pada tahun 1900 dan di al-Jamaliyah  pada tahun 1329H/1911M dan ia turut dicetak juga oleh Percetakan Mustafa al-Bab al-Halabi, Mesir  pada tahun 1342H/1923M.

Berdasarkan terbitan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah – Beyrut (cet-1/2013), kitab al-Tsimar al-Yani’ah telah diterbitkan dalam satu jilid dengan 256 halaman.

Semoga bermanfaat.

Wednesday, November 15, 2017

BUSYRA AL-KARIM BI SYARH MASA-IL AL-TA'LIM


Kitab Busyra al-Karim bi Syarh Masa-il al-Ta’lim (بشرى الكريم بشرح مسائل التعليم) merupakan sebuah karya fiqh dalam mazhab al-Syafi’i. Kitab ini disusun oleh Syaikh Sa’id bin Muhammad Ba ‘Ali Ba’asyan al-Daw’ani al-Hadhrami [1270H], sebagai huraian (syarah) bagi kitab Masa-il al-Ta’lim[1], iaitu sebuah karya al-‘Allamah Jamaluddin Abdullah bin Abdul Rahman Bafadhal al-Sa’di al-Hadhrami (850-918H). 

Sebenarnya, Syaikh Sa’id  Ba’asyan al-Hadhrami menyusun kitab Busyra al-Karim ini sebagai ringkasan bagi sebuah karya beliau yang lain yang berjudul al-Mawahib al-Saniyyah bi Syarh al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah (المواهب السنية بشرح المقدمة الحضرمية).

Kitab Busyra al-Karim ini lebih terkenal sebagai syarah kitab Masa-il al-Ta’lim berbanding kitab al-Mahawahib al-Saniyyah, kerana ia telah dicetak dan diiterbitkan untuk bacaan dan rujukan para ulama dan penuntut ilmu.

Berdasarkan kitab Busyra al-Karim yang diterbitkan (cetakan 1 - 2004/1425) oleh Dar al-Minhaj, ia dicetak dalam satu jilid dengan 718 halaman. Kitab ini dalam bentuk file PDF boleh dimuat turun di sini /sini.

Semoga bermanfaat.


[1] Ia juga dikenali sebagai al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah.

Monday, November 13, 2017

AL-RIYADH AL-BADI'AH (الرياض البديعة)


Kitab al-Riyadh al- Badi’ah fi Ushul al- Din wa Ba’dh Furu’ al-Syari’ah ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i (الرياض البديعة في أصول الدين وبعض فروع الشريعة على مذهب الإمام الشافعي) adalah sebuah kitab yang ringkas (mukhtasar) mengenai akidah dan fiqh berdasarkan mazhab Syafi’i. Kitab ini disusun oleh Syaikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Syafi’i al-Makki (1233-1335H /1817-1917M), seorang ulama terkenal di Makkah al-Mukarramah pada zamannya[1]. Ramai para ulama dari Nusantara yang menjadi murid beliau.

Kandungan kitab al-Riyadh al- Badi’ah dimulai dengan penerangan ringkas mengenai bidang akidah dan dikuti dengan perbahasan ringkas mengenai bidang fiqh seperti thaharah (bersuci), solat, jenazah, zakat, puasa, haji dan umrah, sumpah dan nazar. Kandungan kitab ini diakhiri dengan penerangan ringkas mengenai bidang tasawuf.

Kitab ini pernah dicetak pada tahun 1317H oleh Percetakan al-Maymanah, Kaherah – Mesir,  dengan ketebalannya  sebanyak 63 halaman.


Syarah bagi kitab al-Riyadh al- Badi’ah

Kitab al-Riyadh al-Badi’ah, kemudiannya telah diberikan huraian (syarah) oleh murid[2] penyusunnya, iaitu al-‘Allamah Syaikh Muhammad Nawawi bin Arabi al-Bantani al-Jawi (1230-1314M / 1813-1879M) melalui karyanya berjudul al-Tsimar al-Yani’ah fi Syarh ‘ala Riyadh al- Badi’ah (الثمار اليانعة المنيعة في شرح الرباض البديعة)

Dalam huraiannya Syaikh Muhammad Nawawi menghuraikan teks akidah yang terdapat dalam kitab asalnya dengan merujuk kepada pandangan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama’ah, aliran al-Asya-‘irah. Manakala huraian dalam bidang fiqh, ternyata lebih meluas dengan merujuk kepada pandangan para ulama mazhab Syafi’i.

Cetakan pertama kitab ini telah dicetak oleh Percetakan al-Bahiyah, Mesir, pada bulan Syaaban 1299H/1882M dan diulang cetak di Bulaq pada tahun 1302H/ 1884M, di al-Maimanah  pada tahun 1308H/1889 M, dan di al-Jamaliyah  pada tahun 1329H/1911M dan ia turut dicetak juga oleh Percetakan Mustafa al-Bab al-Halabi, Mesir  pada tahun 1342H/1923M.

Kitab al-Riyadh al- Badi’ah boleh dimuat turun di  sini / siniSemoga bermanfaat. 


[1] Baca pautan  Syaikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki untuk maklumat lanjut mengenai beliau. Antara karya beliau yang lain ialah Hasyiah ‘ala Manasik al-Khathib al-Syarbaini al-Kabir dan Faydh al-Manan bi Syarh Fath al-Rahman

[2] Berdasarkan tahun kelahiran kedua-dua tokoh ini, usia Syaikh Muhammad Nawawi (1230H) lebih tua sedikit daripada gurunya Syaikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah (1233H). Bahkan Syaikh Muhammad Nawawi wafat lebih awal iaitu pada tahun 1314H berbanding Syaikh Muhammad Hasbullah pada tahun 1335H. Perkara ini tidak menafikan hubungan mereka antara guru dan murid kerana dari aspek keilmuan, usia tidak menjadi ukuran. Melihat kepada senarai guru kedua-dua tokoh ini, mereka berdua pernah menjadi murid kepada beberapa guru yang sama. Dapat disimpulkan di samping hubungan mereka sebagai guru dan murid, mereka juga sebenarnya adalah sahabat seperguruan.

Tuesday, November 7, 2017

AL-'AQD AL-TSAMIN (العقد الثمين)


Kitab al-‘Aqd al-Tsamin Syarh ‘ala al- Manzhumat  Musamma bi al-Fath al-Mubin  (
العقد الثمين شرح منظومة الستين مسألة المسماة الفتح المبين) merupakan sebuah karya al-‘Allamah al-Syaikh Abu al-Mu’thi Muhammad Nawawi al-Bantani al-Jawi (1316H/1898M), seorang tokoh ulama mazhab Syafi’i berasal dari Indonesia yang terkenal dengan karya-karya bernilai yang menjadi rujukan para ulama dan penuntut ilmu.

Kitab al-‘Aqd al-Samin disusun oleh Syaikh Muhammad Nawawi sebagai huraian (syarah) bagi kitab al-Fath al-Mubin (الفتح المبين), karya Syaikh Mustafa bin Usman al-Jawi al-Qaruti, seorang ulama dari Garut, Indonesia. Manakala kitab al-Fath al-Mubin pula, disusun oleh Syaikh Mustafa bin Usman al-Jawi al-Qaruti  dalam bentuk nazam (al-Manzhumat) berdasarkan Matn al-Sittin Mas-alah (الستين مسألة).

Sedangkan Kitab al-Sittin Mas-alah pula merupakan satu kitab fiqh mazhab Syafi’i yang ringkas, yang menghimpunkan enam puluh permasalahan agama yang berkaitan dengan akidah dan fiqh yang perlu diketahui oleh umat Islam. Kitab ini merupakan hasil karya al-Imam al-‘Alim Abu al-‘Abbas Ahmad al-Zahid (819H).

Berdasarkan beberapa sumber, kitab ini pernah dicetak pada tahun 1300H /1888M di Matba’ah al-Wahbiyyah, Makkah. Semoga bermanfaat