Kitab Nihayah al-Mathlab Fi Dirayah al-Mazhab (نهاية المطلب في دراية المذهب) adalah
sebuah karya al-Imam Abul Ma'ali 'Abdul Malik bin 'Abdillah bin Yusuf bin
Muhammad bin 'Abdillah bin Hayyuwiyah Al-Juwaini An-Naisaburi (419-478H). Kitab Nihayah
al-Mathlab ini dianggap sebagai
sebuah ensiklopedia fiqh mazhab Syafi’i yang menjadi sumber kepada penyusunan kitab-kitab
fiqh Syafi’iyah yang muncul selepasnya. Kitab ini juga dikenali sebagai “al-Mazhab
al-Kabir”. Ketebalan kitab ini dirangkumi dalam 21 jilid.
Kitab Nihayah al-Mathlab ini dikatakan sebagai ringkasan bagi 4
buah kitab utama mazhab Syafi’i, iaitu Kitab al-Umm, al-Imla’, Mukhtashar
al-Buwaithi dan Mukhtashar al-Muzani. Namun begitu
menurut Ibn Hajar al-Haytami, kitab Nihayah al-Mathlab hanyalah merupakan
syarah (huraian) bagi Kitab Mukhtashar al-Muzani.
Kitab Nihayah al-Mathlab kemudiannya diringkaskan pula oleh
Imam Abu Hamid al-Ghazali (450-505H) dengan kitabnya al-Basith fi
al-Mazhab[1].
Kitab al-Basith, kemudiannya diringkaskan lagi oleh Imam al-Ghazali
dengan karyanya al-Wasith fi al-Mazhab[2]. Kemudian Imam al-Ghazali
meringkaskan kitab al-Wasith tersebut dengan menyusun kitab al-Wajiz[3].
Kemudian kitab al-Wajiz tersebut diringkaskan pula oleh al-Imam Abu
al-Qasim Abdul Karim bin Muhammad bin Abdul Karim al-Rafi‘i al-Qazwini
(555-624H) yang terkenal dengan gelaran Imam al-Rafi’i (623H) melalui kitabnya al-Muharrar[4]. Kitab
al-Muharrar, kemudiannya diringkaskan pula oleh Imam Abu
Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676H) melalui kitab beliau yang terkenal,
iaitu Minhaj al-Thalibin[5]. Manakala
kitab Minhaj al-Thalibin ini diringkaskan pula oleh Syaikhul Islam Abu
Yahya Zakariyya al-Anshari (823-926H) melalui kitabnya Manhaj al-Thullab[6]. Kitab Manhaj
al-Thullab, diringkaskan kemudiannya oleh Syaikh Zainuddin bin Abdul ‘Aziz al-Malibari
(987H) melalui kitabnya Qurrah al-‘Ain fi
Muhimmat al-Din[7].
Kandungan
kitab ini…
Dalam
kitab ini, Imam Haramain telah berusaha memilih dan mengumpul pendapat-pendapat
Imam al-Syafi’i, para Ashabul Wujuh, serta pendapat para mujtahid mazhab yang
lain. Imam Haramain al-Juwaini dianggap sebagai ulama fiqh pertama yang menjadi
pentarjih dan pentahrir pendapat-pendapat para ulama mazhab al-Syafi’I yang
muncul sebelumnya. Dalam kitab al-Nihayah ini, Imam Haramain menjelaskan
mana-mana pendapat Imam Syafi’i yang kuat dan lemah, yang mana pendapat Ashab
(para sahabat/ murid al-Syafi’i) dan para ulama mazhab yang lain sama ada kuat
atau lemah. Jika ada pendapat fuqaha’ dalam mazhab Syafi’i yang dianggap tidak
sesuai dengan kaedah yang telah ditetapkan oleh Imam Syafi’i, beliau akan
memberikan catatan khusus terhadapnya. Biasanya beliau akan berikan komentar
berupa “pendapat ini menyalahi mazhab”, lalu kemudian beliau jelaskan pendapat
yang sesuai dengan kaedah dan ushul dalam Mazhab Syafi’i.
Selain
usaha beliau di atas, beliau juga melakukan beberapa tajdid dalam mazhab
syafi’i melalui kitab ini. Tajdid beliau tersebut berupa ijtihad-ijtihad peribadi
yang terkadang menyelisihi pendapat mazhab. Selain itu, beliau juga
menetapkan beberapa kaedah yang beliau tuliskan jika tidak ditemukan pendapat
yang disepakati oleh mazhab dalam suatu masalah. Di mana kaedah tersebut menjadi
asas dan panduan kepada fuqaha’ untuk menentukan sendiri hukum yang tepat
sesuai koridor mazhab syafi’i.
Link download (PDF)
: Muqoddimah Muqoddimah
Jilid 1 Jilid
1 Jilid 2 Jilid
3 Jilid 4 Jilid
5 Jilid 6 Jilid
7 Jilid 8 Jilid
9 Jilid 10 Jilid
11 Jilid 12 Jilid
13 Jilid 14 Jilid 15 Jilid 16 Jilid 17 Jilid 18 Jilid 19 Jilid 20
Semoga
catatan ringkas ini bermanfaat.
[1] Kitab al-Basith walaupun
ringkasan kepada Nihayah al-Mathlab, tidaklah bermakna semua kandungannya
adalah daripada kitab tersebut, malah
Imam al-Ghazali turut memuatkan pandangan-pandangannya. Ini adalah manhaj ulama
terdahulu dalam meringkaskan kitab. Sebagaimana Imam al-Nawawi (676 H) yang
meringkaskan kitab al-Muharrar karya Imam al-Rafi'i dengan penambahan dan
pembetulan.
Selain kitab al-Basith karya
al-Ghazali, kitab Nihayah al-Mathlab juga turut diringkaskan oleh Imam
Abu Sa’ad Syarafuddin Abdullah bin Muhammad bin Hibatullah bin al-Mutahhar
bin ‘Ashrun (493/493-585H), yang
terkenal dengan gelaran Ibn Abu ‘Ashrun –dengan karyanya Shafwah al-Mazhab min Nihayah
al-Mathlab.
[2] Selain
al-Ghazali, kitab al-Wasith juga diringkaskan oleh al-Imam Nashiruddin
al-Baydhawi (685H), melalui kitabnya al-Ghayah
al-Qushwa fi Dirayah al-Fatwa.
[3] Kitab al-Wajiz telah
dihuraikan (syarah) oleh ;
a) Imam Fakhruddin
al-Razi (606H).
b) Imam al-Rafi’i (623H) melalui karyanya Fath
al’Aziz Syarh al-Wajiz, yang juga terkenal dengan judul al-Syarh
al-Kabir. Kitab al-Syarh al-Kabir kemudiannya telah diringkaskan oleh al-Nawawi
dalam kitab al-Rawdhah al-Thalibin.
[4] Di
antara karya yang menghuraikan Kitab al-Muharrar ialah;
a) Kasyf
al-Durar fi Syarh al-Muharrar, oleh al-Qâdhî SyihâbuddinAhmad bin Yusof al-Sanadi (wafat
895H).
b) Syarh
al-Muharrar oleh Syaikh Nuruddin ‘Ali bin Yahya al-Ziyadi
al-Mishri (1024H).
[5] Kitab
Minhaj al-Thalibin merupakan kitab yang sering digunapakai untuk merujuk
pendapat-pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafi‘i selepas berlakunya proses
pemurnian (al-tanqih) yang kali pertama dilakukan dalam sejarah perkembangan
mazhab Syafi‘i. Oleh kerana itu, kitab ini telah mendapat perhatian yang tinggi
di kalangan ulama-ulama mazhab Syafi‘i untuk diperkembangkan sama ada diberikan
huraian (syarh), komentar (hasyiah), dilakukan ringkasan, disusun dalam bentuk
nazam dan lain-lain lagi sehingga jumlah keseluruhannya yang dapat dikesan
hingga kini mencecah 230 buah kesemuanya. Antara yang paling terkenal ialah
dalam bentuk huraian (syarh) seperti Tuhfah al-Muhtaj Bi Syarh al-Minhaj oleh
Ibn Hajar al-Haytami, Nihayah al-Muhtaj Ila Syarh al-Minhaj oleh Syams al-Din al-Ramli dan Mughni al-Muhtaj Ila Ma‘rifah
Alfaz al-Minhaj oleh al-Khatib al-Syarbini.
[6] Kitab ini kemudiannya telah
dihuraikan oleh Syaikh Zakariyya al-Anshari sendiri melalui karyanya Fath
al-Wahhab.
[7] Kitab Qurrah
al-‘Ain ini telah dihuraikan (syarah) oleh Syaikh Zainuddin al-Malibari
sendiri melalui kitabnya Fath al-Mu’in. Ia juga ada diberikan
huraian oleh Syaikh Muhammad Nawawi al-Banteni al-Jawi (1316H)
melalui karyanya Nihayah al-Zain fi Irsyad al-Mubtadi-in.